Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Kementerian Pertahanan ketika ini sedang giat menjalankan transformasi PLKN dengan dibantu oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan Kementerian Belai dan Sukan.
“Penekanan itu adalah untuk memberi peluang kedua kepada pelatih-pelatih PLKN dari segi kemahiran.
“Beberapa bulan kebelakangan ini, kita dah buat transformasi kepada dimensi latihan juga untuk mendapatkan syarikat memberikan pekerjaan, merupakan pendekatan baru PLKN 2.0,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bersama Kepimpinan Negara sempena Minggu Haluan Siswa Pelajar Baharu di Universiti Tun Hussein Onn, di sini hari ini.
Yang hadir sama Naib Canselor UTHM Prof. Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin.
Hishammuddin berkata, lapan minggu latihan dan seterusnya latihan di institut kemahiran yang mungkin mengambil masa minimum tiga bulan sehingga maksimum 24 bulan.
“Ini merupakan transformasi sepenuhnya. Bagi pusat-pusat kemahiran ini kita akan gunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan bakal melibatkan kementerian-kementerian lain, ter­pulang kepada kursus apa yang dipilih oleh pelatih,” kata beliau.
Hishammudin berkata, peng­am­bilan secara sukarela akan dilaksanakan secara berperingkat dengan pelaksanaan sepenuhnya pada 2019.
“Harapan saya supaya ramai dapat membantu kerana golongan pelatih ini kalau kita tak beri peluang, mereka akan berada dalam golongan terpinggir yang tiada pekerjaan dan tiada kemahiran dan tiada masa depan,” kata beliau.
Selain itu, maklum balas daripada mereka yang berkepentingan dan bekas pelatih dan jurulatih PLKN juga diharapkan dapat membantu transformasi berkenaan.
“PLKN merupakan satu cara untuk memastikan anak-anak kita turut terbela dan ini yang sedang kita lakukan melalui PLKN,” kata beliau. – utusan
Ini adalah berita yang baik buat anda peserta PLKN. Jadi ambil peluang sementara masih ada. Belajar walau di mana sekalipun, jika diri anda mahukan kejayaan pasti akan memperolehinya.