Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pewartaan itu telah diisytihar di negeri Perlis pada 19 Ogos lalu sementara Kedah dan Pulau Pinang bermula hari ini.
Beliau berkata, pewartaan itu dibuat susulan wujudnya kes positif anjing gila yang dikesan Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 17 Ogos lalu di Perlis diikuti Kedah pada Ahad lalu dan kemudiannya di Pulau Pinang.
“Sehubungan itu, 200 kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah dikerahkan untuk membantu mengawal keadaan di tiga negeri tersebut di samping pihak lain termasuk anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan.
“Saya juga telah meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengeluarkan kenyataan mengenai perkembangan terbaru setiap hari supaya orang ramai lebih berhati-hati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat rumah keluarga nelayan yang meninggal dunia baru-baru ini di Kuala Larut, Matang di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (Pembangunan), Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, sebanyak 22 mangsa gigitan anjing liar dicatatkan di Perlis, diikuti lima di Kedah dan dua di Pulau Pinang.
“Dua mangsa di Pulau Pinang terdiri daripada seorang kakitangan PBT dan seorang kanak-kanak yang digigit di Balik Pulau pada 13 September lalu.
“Sebanyak 65 sampel otak anjing masing-masing telah diambil di Kedah dan Perlis. Setakat ini, 17 disahkan positif di Kedah dan lapan lagi di Perlis. Daripada jumlah lapan sampel positif di Perlis, empat adalah anjing liar dan empat lagi merupakan anjing yang mempunyai pemilik,”katanya.
Penyakit anjing gila yang disebabkan oleh jangkitan Lysavirus, berjangkit melalui luka gigitan terbuka pada kulit atau permukaan mukosa daripada air liur, cairan atau tisu tubuh yang berjangkit.
Haiwan yang terjangkit akan menggigit semua binatang, manusia serta objek bergerak di sekelilingnya sekali gus menjadi lumpuh atau dungu sebelum maut.
Pada tahap tersebut, risiko jangkitan terhadap manusia sentiasa wujud.
Sehubungan itu, Quaza Nizamuddin menasihatkan semua pemilik anjing terutamanya di tiga negeri berkenaan supaya menjaga haiwan peliharaan masing-masing di rumah selain mendapatkan suntikan vaksin di pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar daerah.
Menurut beliau, strategi utama pihaknya adalah melakukan kawalan melalui pemusnahan anjing terbiar selain meningkatkan aktiviti pemvaksinan kerana tidak mahu penularan itu merebak turun menjangkaui Seberang Perai Utara.
“Di Perlis, beberapa kawasan yang terlibat ialah di Lubuk Sireh, Kaki Bukit, Kubang Tiga, Panggas Besar, Guar Nangka dan Pauh sementara di Kedah membabitkan Kubang Pasu dan Kota Setar.
“Oleh itu, kita juga telah melakukan beberapa langkah pembasmian lain melibatkan kempen kesedaran awam termasuk kawalan import, kuarantin dan pengezonan,” katanya.
( petikan dari utusan)
Banyak penyakit sekarang telah menyerang kita secara sedar dan tidak. Sebagai hamba Allah yang kerdil, bermuhasabah lah diri untuk menginsafi segala kejadian yang terjadi. Sesungguhnya segala penyakit yang ada pastinya ada penawarnya. Cepat atau lambat sahaja. Bagi kita semua, jagalah kesihatan diri, rumah dan persekitaran kita untuk menjalani hidup yang sihat dan gembira.